Apa cerita adik-adik yang ambil keputusan SPM tadi? Kepada adik-adik yang berjaya gua ucapkan tahniah. Mana yang kurang berjaya tu tak payah la down sangat. Lu orang pun dah cuba yang terbaik. Cuma mungkin lu orang kurang makan kismis doa. Tu keputusan tak berapa nak pergi tu.
13 tahun yang dulu, masa gua muda remaja gua pun lalui juga pengalaman ambil keputusan SPM ni. Hari keputusan keluar, lebih kurang pukul 11 pagi gua dah sampai sekolah. Masa tu gua pakai lebih kurang je. Jauh beza dengan budak-budak yang gua nampak dekat shopping complex tadi. Masing-masing bukan main bergaya. Gua dulu nak bergaya beriya pun bukan ada guna. Sekolah gua semua budak lelaki. Kalau beriya sangat bergaya nanti takut ada pula member gua yang jatuh hati dengan gua. Susah pula gua nak kena bertumbuk dengan dia nanti.
Masa gua sampai depan pejabat sekolah, member gua dah ramai berhimpit-himpit depan dinding pejabat. Salinan senarai keputusan cikgu gua tampal di dinding. Gua join sama. Jenuh juga gua nak tilik senarai tu nak cari nama gua. Sebaik gua jumpa nama gua, gua rasa lega. Elok keputusan SPM gua ni. Tapi dua tiga kali juga gua ulang tengok. Mana la tau tersalah tengok keputusan orang lain. Malu nanti.
Lepas dah betul-betul confirm, baru la gua masuk ke dalam pejabat untuk ambil slip keputusan yang asal. Kak Ton, kerani paling otai dalam pejabat tu tersengih-sengih dekat kaunter. Sebaik sampai giliran gua nak ambil slip, tiba-tiba Kak Ton cakap gua tak boleh ambil slip gua.
"Haa..awak tak boleh ambil slip awak ni. Awak ada hutang dengan sekolah. Bayar dulu baru saya bagi slip awak"
"Hutang apa Kak Ton? Mana saya ada hutang dengan sekolah?"
"Ada. Dulu awak ada pinjam bola tujuh biji dari stor sukan. Tapi awak pulang balik dua biji je"Cilaka. Baru gua teringat hal ni. Gua ingat lepas keluar sekolah dah kira lupa pasal ni. Dah la sebiji bola kena caj RM 30. Lima biji RM 150 tu. Masa ni la gua menyesal jadi presiden kelab bola sepak sekolah gua dulu. Tapi nak buat macam mana. Sebagai bekas presiden yang jujur, amanah dan jauh sekali berperangai seperti Taib Mahmud, gua setelkan juga hutang tu. Itu pun pinjam duit member gua dulu. Siot betul.