Wednesday 25 May 2011

Konvo

Gua konvo tahun 2004 dulu. Gua tak ingat hari apa dan bulan apa. Yang gua ingat konvo gua sesi petang. Hari itu, dari pagi lagi mak gua dah riuh-riuh ingatkan gua supaya tak tertinggal apa-apa yang perlu untuk konvo. Ya lah, kalau tertinggal topi konvo pun susah juga. Takkan gua nak ganti pakai ketayap pula. Tak kena langsung dengan wibawa gua sebagai graduan.

Selesai makan tengahari, gua dan family gua terus bergerak ke universiti. Abang gua memandu kereta. Gua duduk di tempat duduk belakang. Sesekali gua tersenyum sendiri. Gua gembira sungguh hari itu. Mana taknya, lepas ini gua dah tak payah susah-susah masuk kuliah. Dah tak payah berjaga baca buku bila nak periksa. Dan paling penting dah tak payah pening-pening pikir alasan bila kantoi ponteng kelas.

Masuk saja perkarangan universiti, abang  gua terus memandu tuju ke parking yang telah ditetapkan. Dapat parking bawah pokok besar. Baru redup sikit. Masing-masing keluar dari kereta. Mak dengan bapak gua terus melangkah ke dewan. Abang gua dengan kakak ipar gua, dan adik-adik gua bersepah ke arah kawasan gerai konvo. Gua pula terus tuju ke kawan-kawan gua. Kitorang berborak sakan. Lama juga tak jumpa lepas habis exam dulu.

Tiba-tiba bahu gua ditepuk. Gua pusing ke belakang. Seorang awek berdiri depan gua.
"Hai", Nin menyapa gua sambil memberikan senyuman. Senyuman yang sangat manis. Senyuman yang telah membuatkan gua jatuh cinta berkali-kali dengan Nin.
Gua membalas sapaan Nin. Nin merapat ke arah gua. Dibetulkannya jubah konvo gua yang sedikit senget. Bahu gua ditepuk-tepuk membuang habuk-habuk pada jubah gua. Kemudian Nin meletakkan topi konvo di kepala gua. Perlahan-lahan supaya betul-betul cantik di kepala gua.

Tiba-tiba gua perasan Nin semakin muram. Gua tahu ada yang tak kena. Gua faham sangat dengan muka Nin yang macam ini.
"Sekarang abang dah berjaya. Tak lama lagi abang akan kerja elok, gaji besar, mampu beli rumah dan kereta besar. Tapi, Nin masih macam dulu, tak berubah. Nin cuma mampu tolong emak menjual kuih di kampung. Nin takut kalau nanti jurang perbezaan antara kita akan menyebabkan abang berubah hati", luah hati Nin.
Gua terdiam. Gua memang tak pernah fikir soal-soal darjat ini walaupun gua pernah tengok filem Ibu Mertuaku.
"Nin, abang....", tak sempat gua habiskan ayat bila tiba-tiba bahu gua ditepuk lagi. Gua pusing ke belakang. 
"Aterr, mike pikior mike sorang je nak konvo? Teman pun konvo juge"

Cilaka! Sebenarnya gua pergi ke konvo adik ipar gua di Ipoh Sabtu lepas. Itu yang gua teringat pasal gua konvo dulu. Cuma bahagian Nin tu gua reka saja. Tapi seladang ambil diploma ini memang gua tak tipu. Memang ada masa konvo adik ipar gua hari itu.

Friday 20 May 2011

Daim


Agak-agaknya kalau gua makan gula-gula Daim ini banyak-banyak, otak gua boleh jadi bergeliga macam Daim Zainuddin tak? Terima kasih pada member gua, Zaini yang ingat untuk belikan gula-gula ini untuk orang-orang ofis masa dia buat kerja di Labuan minggu lepas.

Monday 16 May 2011

Hari Guru

Hari ini 16 Mei bersamaan dengan Hari Guru. Masuk tahun ini dah banyak tahun juga gua tak celebrate Hari Guru. Dulu masa zaman sekolah memang gua tak pernah terlepas celebrate Hari Guru. Setiap kali Hari Guru mesti sekolah gua akan buat sambutan. Gua bukanlah suka sangat nak celebrate, tapi gua suka sebab bila Hari Guru tak payah belajar. Kelas batal. 

Biasanya bila Hari Guru gua dengan kawan-kawan sekelas gua akan dapat job buat banner Hari Guru. Maklumlah masa itu kitorang kelas seni. Mestilah buat kerja-keja seni. Tak macam budak kelas akaun, tahu main calculator saja. Selain buat banner kitorang akan hias pentas dalam dewan sekolah untuk majlis sambutan Hari Guru.

Masa Hari Guru cikgu-cikgu sekolah gua semuanya jadi sporting. Yang biasanya garang mengalahkan Hitler semuanya pakat gelak-gelak, suka-suka. Yang baik sah-sah lagi bertambah baik. Tapi sebaik habis saja Hari Guru mulalah masing-masing nak merotan saja. Gua kadang-kadang syak cikgu-cikgu gua ada suis belakang badan masing-masing yang diorang akan  tekan ON bila Hari Guru dan OFF balik lepas Hari Guru. Suis itulah agaknya yang kawal mood diorang.

Tapi apapun, gua nak ucapkan Selamat Hari Guru buat semua guru-guru yang pernah mengajar gua. Tak kisahlah masa gua sekolah rendah ataupun menengah. Cikgu tadika saja gua tak ada sebab dulu masa kecik gua tak pergi tadika. Dan yang paling penting, gua nak ucapkan Selamat Hari Guru untuk bapak gua yang satu masa dulu kerja sebagai cikgu. Dapat juga gua merasa bekas anak murid bapak gua belanja family gua makan kari kepala ikan. Hehehe...

Abang-abang

Semalam gua keluar pergi ke Jusco sebab gua nak beli vacuum cleaner. Sebenarnya hari sebelum itu pun gua dah ke situ survey harga dulu. Jadi, semalam gua tak lengah-lengah. Masuk Jusco terus ke bahagian barang elektrik, terus ambil vacuum cleaner dan terus bayar. Seratus lebih gua belanja.

Selesai urusan di Jusco, gua terus pergi ke pasar pula dengan bini gua. Mula-mula gua pergi beli sayur-sayur. Lepas itu baru gua beli ayam, udang dengan sotong. Dekat seratus juga gua keluar duit belanja pasar.

Nampaknya sejak kahwin ini trend belanja gua memang bersifat abang-abang. Dulu gua belanja semuanya berkait rock. Asal ada duit lebih gua akan beli tshirt rock, kasut rock, tak pun CD rock. Sekarang gua dah tak ambil tahu sangat pasal benda-benda rock. Gua lebih risaukan harga semasa bawang.  Memang abang-abang...

Monday 2 May 2011

Art is free

Semasa gua melangkah masuk ke kawasan Istana Budaya Sabtu lepas, tiba-tiba abang gua bertanya,
"Gua pelik kenapa Istana Budaya tak charge parking?"
"Art is free, beb", gua jawab. Mendalam.