Wednesday, 13 November 2013

Rambo Returns ( Kepulangan Rambo ) : Part II

Part I lu baca SINI.
"Salamelekom...salamelekom!!", teriak Pak Romario di depan sebuah pondok di hujung kampung.
"Ni kalau tiga kali bagi salam tak jawab juga kita kena balik ni encik. Hehe..", kata Pak Romario cuba berjenaka dengan pegawai tentera.
Memang tak kelakar. Sikit pun pegawai tentera tak rasa kelakar. Rasa nak ditamparnya Pak Romario. Askar pengiringnya pun sama. Sudahnya Pak Romario tersengih-sengih seorang diri seperti kerang busuk.

Tiba-tiba pintu pondok dibuka. Di hadapan mereka berempat, berdiri seorang lelaki berbadan tegap yang hanya bersinglet dan berseluar celoreng. Dengan lengan yang berketul-ketul, dada yang bidang dan perut berpetak enam, memang badan-badan beginilah yang sering menjadi kegilaan gadis-gadis dan mak-mak datin. Pak Romario mengeluarkan semula gambar yang diberi oleh pegawai tentera tadi. Memang sah! Lelaki ini lelaki yang sama seperti dalam gambar tersebut. John Rambo!
"Rambo, aku nak kau ikut kami balik. Ada kerja untuk kau." 
"... ... ..."
"Misi kali ni penting. Askar yang betul-betul power macam kau je boleh buat. Askar-askar biasa tak boleh. Oi Rambo, kau dengar tak ni? Haa..dengar ke tak Rambo?" 
"Aku dengar la. Yang kau ni main nama bapak ni apahal? Nama aku John. Rambo tu nama bapak aku"
"Ye la..ye la..aku mintak maaf. Tak habis-habis panas baran kau ni. Camana pun kau kena balik ikut kami. Kau mesti join misi kali ni. Penting ni. Tak naik pangkat aku kalau misi ni gagal."
Jim, pegawai tentera berpangkat sarjan itu seolah-olah mendesak John Rambo. Jim menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan sebatang rokok Surya. Terus dinyalakannya. Asap naik berkepul-kepul.
"Aku tak nak. Aku dah tak buat kerja-kerja tu lagi. Aku gembira dengan hidup aku sekarang. Aku dah ada kerja tetap di ladang jagung Pak Andre kat hujung kampung sana. Medical cover, ada SOCSO, siap ada pencen lagi.", jawab John Rambo tegas.
Jim menghisap rokok Suryanya dalam-dalam. Dibiarkan asap rokoknya terkumpul dalam rongga mulutnya. Kemudian dihembuskannya semula keluar membentuk asap rokoknya menjadi gelung-gelung dan menyerupai objek seakan-akan kapal layar. Jim tersengih kecil. Dalam hatinya sedikit riak merasakan dirinya seperti Gandalf. Jim kembali membuka mulut.
"Aku faham semua tu. Aku tau kau memang suka kerja di ladang tu. Dalam borang interview askar dulu pun memang kau tulis cita-cita kau nak jadi peladang jaya. Aku baca semua tu, jangan ingat aku tak tau. Lagi pun kau sebenarnya dah jatuh hati dengan anak dara Pak Andre tu kan? Itu yang sebenarnya. Gatal tak berubah-ubah dari dulu."
John Rambo mediamkan diri. Pandangannya jauh keluar dari tingkap pondoknya menembusi ladang jagung Pak Andre. Memang hatinya berat untuk meninggalkan Kampung Santarem lebih-lebih lagi mahu meninggalkan Milah anak Pak Andre. Tapi kesungguhan yang ditunjukkan Sarjan Jim sedikit sebanyak menggoncang hatinya untuk kembali berkhidmat bersama Sarjan Jim.
"Baiklah. Aku setuju ikut kau. Tapi dengan satu syarat.", kata John Rambo, pendek.
"Apa syaratnya?" 

Bersambung... 
 

Tuesday, 12 November 2013

Mengkomikkan rakan-rakan

Ini hobi terbaru gua. Buat komik pasal kawan-kawan gua. Suka betul gua Bitstrips ni. Macam bercambah-cambah pula idea gua nak bikin dialog. Hahaha


Thursday, 17 October 2013

Berlari ke katang: #3

Jilaka. Malam ni ikut jadual gua kena masuk gym ni. Dah banyak hari juga gua tak masuk ni. Raya Haji hari tu memang gua takde la masuk gym. Apa pula kata orang nanti, orang lain sibuk pergi sembahyang raya dengan potong lembu, gua pula sibuk nak angkat besi dekat gym.

Gua harap malam ni dumbbell dan besi-besi gym tak terlalu kejam dengan gua. Bukan apa, gua memang tak berapa kuat rasanya ni. Banyak sangat melantak nasi impit dengan rendang raya hari tu.

Monday, 7 October 2013

Berlari ke katang: #2

Minggu ni dah masuk dua minggu gua pergi gym. Tapi minggu ni power sikit. Gua masuk gym empat kali. Minggu lepas tiga kali saja. Isnin, Rabu dengan Jumaat gua masuk gym ofis macam biasa. Sabtu pagi gua pergi gym dekat Kementerian Belia dan Sukan dengan kawan gua Bon dan Tony. Tony nama saja gangster tapi senyum manis macam gula. Gym ni sekali masuk RM4. Tapi puas hati sebab barang-barang dia banyak. Luas pun luas tak la gua rasa macam sardin.

Mula minggu ni gua dah lebih banyak main weight. Gua buat squats dengan weight, bench press dan barbell row. Kalau lu orang tak tau apa benda-benda ni semua lu pergi google. Gua malas nak terang lebih-lebih. Selain tu gua juga buat planking

Tapi memang dia punya penat dengan sakit buat benda-benda ni memang cilaka betul. Rasa macam nak gugur misai gua satu-satu. Tapi jangan risau, gua masih lagi cekal. Wuahahaha

Monday, 30 September 2013

Berlari ke katang: #1

Bermula minggu lepas gua dah masuk gym semula. Maksud gua gymnasium, bukan gymrama. Sebenarnya sebelum bulan puasa dulu gua memang masuk gym. Tapi bila bulan puasa gua stop. Gua takut kalau masuk  juga gua terbawa sekali KFC dengan McD pula. Gua masuk gym ofis gua saja. Tak besar mana pun gym ofis gua ni, tapi setakat benda-benda basic tu ada la. Itu pun gua tengok treadmill dah kena lipat sebab rosak. Gua pun tak tahulah mana punya Usain Bolt lari laju sangat atas treadmill tu sampai jahanam.

Gym ofis gua ni dibuka tiga hari untuk lelaki - Isnin, Rabu dan Jumaat. Baki dua hari lagi untuk perempuan. Tapi biasanya bila hari untuk perempuan, gelap saja gym ni. Tak ada orang masuk pun. Mungkin sebab masing-masing lebih percaya pada ubat kurus. 

Untuk peringkat awal-awal ni gua cuma buat workout yang ringan-ringan saja. Iyalah, gua pun taknak la balun beriya sangat. Nanti cepat sangat pula badan gua katang. Gua tak ready lagi. Spenda bodybuilder nak buat masuk pertandingan pun gua tak beli lagi. Gua cuma kayuh basikal, squat, lunges dan main besi kaki saja. Gua banyak fokus nak kuatkan otot lutut dan peha memandangkan gua baru operate lutut hujung tahun lepas.

Kali ini gua harap gua akan lebih serius pasal hal-hal gym ni. Target gua nak bagi turun berat badan dan menjadi lebih katang. Gua harap gua akan lebih konsisten dengan usaha gua. Gua akan sambung lagi cerita pasal hal gym ni lain kali. Tapi kalau tak bersambung tu maknanya memang sah la gua hangat-hangat tahi ayam. Memang jilaka.

Friday, 27 September 2013

Benda seni

Gua rasa tahap tepu otak gua sekarang memang power betul. Satu apa idea tak ada gua nak menulis dekat blog ni. Nak tulis pasal harga petrol, harga gula naik gua malas. Ramai dah orang lain tulis pasal tu. Kalau gua tulis pun bukan dapat apa. Mendatangkan marah je nanti. Nak sambung cerita Rambo yang gua tulis hari tu lagi gua tepu. Dah lupa dah hujung pangkal dia camana.

Gua harap idea gua nanti akan datang balik. Rasanya benda-benda seni dalam diri gua dah makin hilang. Gua tak nak macam tu. Sekarang pun harap tulis-tulis kat blog ni saja la. Dulu gua selalu melukis. Tapi sekarang melukis lama betul dah gua tak buat. Nak pegang berus cina pun gua dah lupa cara dia.

Benda-benda seni ni la yang buat rasa hidup sikit, tak rasa macam robot.

Saturday, 3 August 2013

Hal-hal update blog

Apa cerita blog gua ni? Dari masa pilihanraya sampai dah nak raya tak ada satu update pun. Harap-harap lepas raya nanti gua rajin sikit update blog

Monday, 22 April 2013

Hal-hal pilihan raya

Sekarang ni sibuk betul pasal pilihan raya. Buka TV sembang pilihan raya, buka FB dengan Twitter  sembang pilihan raya, buka peti surat pun dapat kertas-kertas propaganda pilihan raya. Biasanya kertas warna birulah yang gua dapat. Tak ada pula gua dapat kertas warna hijau.

Tapi iyalah, dah memang musim pilihan raya sah-sah orang bersembang pasal pilihan raya. Kalau musim durian barulah sembang pasal durian. Barulah pasang lagu Os kuat-kuat.

Cakap pasal pilihan raya ni, gua rasa sejak sekolah lagi gua dah didedahkan dengan hal-hal undi mengundi ni. Masa gua sekolah dulu nak pilih ketua tingkatan pun kena undi. Demokrasi la katakan. Biasanya akan ada seorang pencalon yang calonkan nama siapa dia rasa yang layak jadi ketua. Kemudian kalau ada yang tak berkenan, orang tu calonkan pula orang lain. Bila satu kelas dah setuju tutup pencalonan, barulah mula mengundi. Masa mengundi ni calon-calon tadi kena keluar kelas. Iyalah, kena jaga hati calon juga. Buatnya tak ada orang langsung undi mamat calon tu, tak ke sedih dia nanti.

Tapi pilihan raya ketua tingkatan ni pun ada tipu juga. Seingat gua masa tingkatan empat, budak-budak kelas gua komplot nak lantik si Bule jadi ketua tingkatan. Sebaik calonkan Bule, terus usulkan pencalonan ditutup. Tak bagi peluang orang lain nak mencalon. Bule menang tanpa bertanding. Tapi setiap benda tak jujur ada balasannya. Bule jadi ketua tingkatan setengah tahun saja. Lepas tu kena guling dengan Alif Huazam. Gua pun tak tau kenapa kena guling. Masuk-masuk kelas gua tengok nama Alif Huazam dah naik ke bahagian ketua tingkatan dekat notice board. Bule la satu-satunya ketua tingkatan yang pernah digulingkan dalam sejarah.

Masa gua tingkatan lima, masa inilah demokrasi berkembang mekar di sekolah gua. Buat pertama kali pilihan raya satu sekolah dibuat untuk pilih ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Untuk wakil tingkatan gua, Oni bertanding lawan Mag. Oni budak brass band. Budak-budak band ni biasanya jadi bahan kutukan budak lain. Mag pula pailang. Skinhead lagi.

Gua tak ingat apa manifesto dia orang. Ada gua tanya Oni baru-baru ni. Dia cakap masa tu strategi dia memancing undi geng-geng terbuang. Dia kempen dekat budak-budak band, budak-budak skema dan juga budak-budak surau. Mag gua tak ingat. Mungkin guna kekerasan dan pengaruh dia. Tapi yang gua pasti masing-masing tak ada mencarut-carut macam politik sekarang.

Selesai kiraan undi, Mag dapat hampir seribu undian. Oni pula tak sampai seratus. Tapi memang tak logik la. Budak sekolah gua pun baru lima ratus lebih orang. Mana datang Mag boleh dapat dekat seribu undi. Disebabkan kejadian ini, kemenangan Mag dibatalkan. Oni dilantik jadi wakil tingkatan gua.

Nampak sangat politik ni bahaya. Kecik-kecik lagi dah nak menipu. 

Wednesday, 17 April 2013

Nasihat untuk kawan

Semalam gua ada chatting dengan seorang kawan lama. Masa dia tegur gua dekat chat tu gua rasa macam gembira pula. Nak harap gua tegur memang tak ada. Bukan sebab gua sombong tapi gua rasa bersalah sebab lama gila gua tak contact dia. Gua takut dia kecil hati.

Masa bersembang tu gua dapat tau yang kawan gua ni ada masalah. Dan ditakdirkan masalah dia tak jauh beza dengan masalah yang pernah gua  alami. Gua memang boleh bayangkan apa perasaan dia - rasa stress, rasa serba salah.

Gua nasihatkan kawan gua lebih kurang berdasarkan apa yang pernah gua lalui. Buat kawan gua tu, gua memang faham apa yang lu lalui. Gua tau satu hari nanti masalah lu ni akan setel juga. Tak besar mana sebenarnya, cuma jangan biar terlalu lama. Yang penting lu tak boleh berhenti berharap. Fikir positif dan elakkan stress. Tak payah nak fikir dalam-dalam dan jauh-jauh sangat. Buat semak otak saja. 

Tuhan dah atur macam tu. Kalau orang lain boleh berjaya, gua yakin lu pun boleh berjaya. Tak ada masalah punya. Kita hidup sekali saja. Mungkin hari ini kita terpaksa melalui kesakitan, tapi sekurang-kurangnya kita tak akan menyesal di masa hadapan.

Gua doakan yang terbaik untuk diri lu, hidup lu dan kegembiraan lu. 

Thursday, 21 March 2013

Keputusan SPM

Apa cerita adik-adik yang ambil keputusan SPM tadi? Kepada adik-adik yang berjaya gua ucapkan tahniah. Mana yang kurang berjaya tu tak payah la down sangat. Lu orang pun dah cuba yang terbaik. Cuma mungkin lu orang kurang makan kismis doa. Tu keputusan tak berapa nak pergi tu.

13 tahun yang dulu, masa gua muda remaja gua pun lalui juga pengalaman ambil keputusan SPM ni. Hari keputusan keluar,  lebih kurang pukul 11 pagi gua dah sampai sekolah. Masa tu gua pakai lebih kurang je. Jauh beza dengan budak-budak yang gua nampak dekat shopping complex tadi. Masing-masing bukan main bergaya. Gua dulu nak bergaya beriya pun bukan ada guna. Sekolah gua semua budak lelaki. Kalau beriya sangat bergaya nanti takut ada pula member gua yang jatuh hati dengan gua. Susah pula gua nak kena bertumbuk dengan dia nanti.

Masa gua sampai depan pejabat sekolah, member gua dah ramai berhimpit-himpit depan dinding pejabat. Salinan senarai keputusan cikgu gua tampal di dinding. Gua join sama. Jenuh juga gua nak tilik senarai tu nak cari nama gua. Sebaik gua jumpa nama gua, gua rasa lega. Elok keputusan SPM gua ni. Tapi dua tiga kali juga gua ulang tengok. Mana la tau tersalah tengok keputusan orang lain. Malu nanti.

Lepas dah betul-betul confirm, baru la gua masuk ke dalam pejabat untuk ambil slip keputusan yang asal. Kak Ton, kerani paling otai dalam pejabat tu tersengih-sengih dekat kaunter. Sebaik sampai giliran gua nak ambil slip, tiba-tiba Kak Ton cakap gua tak boleh ambil slip gua.
"Haa..awak tak boleh ambil slip awak ni. Awak ada hutang dengan sekolah. Bayar dulu baru saya bagi slip awak"
"Hutang apa Kak Ton? Mana saya ada hutang dengan sekolah?"
"Ada. Dulu awak ada pinjam bola tujuh biji dari stor sukan. Tapi awak pulang balik dua biji je"
Cilaka. Baru gua teringat hal ni. Gua ingat lepas keluar sekolah dah kira lupa pasal ni. Dah la sebiji bola kena caj RM 30. Lima biji RM 150 tu. Masa ni la gua menyesal jadi presiden kelab bola sepak sekolah gua dulu. Tapi nak buat macam mana. Sebagai bekas presiden yang jujur, amanah dan jauh sekali berperangai seperti Taib Mahmud, gua setelkan juga hutang tu. Itu pun pinjam duit member gua dulu. Siot betul.

Saturday, 16 February 2013

Pulang

Hari ini barulah gua betul-betul terkesan dengan kenyataan yang mati tidak mengenal usia. Mungkin tua, mungkin juga muda. Mungkin esok, mungkin lusa kita akan kembali kepada-Nya.

Innalillah. Semoga aman di sana.
"Habis, nanti siapa nak teman gua beraya rumah Mak Long?"